Latest News

Sirul Berjaya Ditahan Di Australia


Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar sudah ditahan oleh pegawai imigresen di Queensland, Australia atas sabitan kes bunuh Altantuya Shaariibuu, lapor media Australia, ABC News hari ini.
Sirul Azhar ditahan semalaman di Brisbane selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadap anggota UTK itu yang dijatuhi hukuman gantung atas sabitan kes bunuh pada 2006.
Notis merah Interpol bermaksud usaha mencari serta menangkap individu yang dikehendaki tersebut akan dilakukan oleh suatu bidang kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa, dengan tujuan untuk mengekstradisi.
Difahamkan Sirul Azhar masih ditahan pegawai imigresen Queensland tetapi tidak dapat dipastikan sama ada mereka bersedia untuk menyerah balik beliau ke Malaysia.
Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri didakwa membunuh Altantuya pada 2006 dan disabitkan kesalahan pada 2009.
Sementara itu, pada 13 Januari lalu, Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Mahkamah Persekutuan turut mengeluarkan waran tangkap ke atas Sirul Azhar yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya kerana gagal hadir ke mahkamah.

INFO
Pertuduhan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar
- Dituduh membunuh Altantuya Shaariibuu, 28, di lokasi antara lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. Didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Kronologi perbicaraan kes bunuh Altantuya
- 15 November 2006 Azilah dan Sirul Azhar didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan membunuh Altantuya.
- 7 Jun 2007 Hari pertama perbicaraan Azilah dan Sirul Azhar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
- 31 Oktober 2008 Mahkamah Tinggi Jenayah memerintahkan seorang lagi tertuduh, Abdul Razak Baginda dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan tanpa perlu dipanggil membela diri.
- 9 April 2009 Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Azilah dan Sirul Azhar.
- 10 dan 13 April 2009 Azilah dan Sirul Azhar masing-masing memfailkan notis rayuan ke atas sabitan dan hukuman.
- 10 Februari 2012 Pengurusan Kes di Mahkamah Rayuan 11 Jun 2013 dan Mahkamah Rayuan mendengar permohonan rayuan selama tiga hari.
- 23 Ogos 2013 Mahkamah Rayuan memerintahkan Azilah serta Sirul Azhar dilepas dan dibebaskan.
- 23 Jun 2014 Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan pihak pendakwaan selama tiga hari.
- 25 Jun 2014 Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan mereka terhadap rayuan pendakwaan.
- 13 Januari 2015 Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

No comments:

Post a Comment

Keep It Google Designed by Templateism.com Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.