Latest News

Saya Tidak Akan Tukar Nama Anak



Keterujaan seorang bapa yang menamakan anak sulungnya dengan nama Obama mendapat kritikan daripada orang ramai terutama dalam lama Facebook berikutan tidak menyenangi nama tersebut.

Bagaimanapun bapa bayi tersebut Azman Kamarudin, 34, berkata, dia tidak kisah dengan kritikan yang diberikan orang ramai.

Menurutnya, setiap individu mempunyai pelbagai persepsi tentang nama berkenaan dan mempunyai hak untuk memberikan pendapat masing-masing.

“Saya tidak pernah terkilan dengan hal itu. Tidak salah nama itu diberikan kepada anak saya, malah jika dinamakan Muhammad seperti yang dicadangkan ramai orang, ada juga segelintir individu yang namanya Muhammad juga melakukan perkara yang tidak baik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Azman berkata, apa sahaja nama yang diberikan, pokok pangkalnya anak itu pandai membawa diri.

Menurutnya, perkara yang paling penting adalah didikan daripada ibu bapa dan taat perintah ALLAH adalah kunci kepada kejayaan seseorang.

Selain itu, Azman menegaskan tidak akan menukar nama anaknya kepada nama lain kerana menganggap nama itu unik selain rasa kekagumannya terhadap kepimpinan Obama.

“Saya berharap satu hari nanti Obama Malaysia dapat berjumpa dengan Obama Amerika,” katanya.

Azman sebelum ini mendedahkan, pemilihan nama Obama untuk anaknya itu disebabkan kekaguman dengan kepimpinan Presiden Amerika Syarikat itu.

Bagaimanapun, semalam, sebahagian pengguna media sosial mengkritik tindakan Azman memberikan nama itu kepada anaknya.

No comments:

Post a Comment

Keep It Google Designed by Templateism.com Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.